1 September 2016


Tindakan nekad seorang wanita lari daripada dicekup pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi tingkap bilik sebelum cuba meloloskan diri mengikut pintu belakang sebuah hotel bajet ternyata memakan diri.

Wanita tersebut bukan sahaja gagal melarikan diri tetapi jatuh tersungkur atas jalan raya hingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan dan badan dalam kejadian pukul 12 tengah malam tadi.

Difahamkan wanita berkenaan panik dan ketakutan selepas hotel bajet tempatnya memadu kasih bersama-sama pasangannya diserbu anggota penguat kuasa JAINJ dalam Ops Ambang Merdeka di sekitar Pasir Gudang, dekat sini.

Penolong Pengarah Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd. Hafiz Abdul Rahman berkata, wanita itu menyewa hotel berkenaan bersama-sama seorang lelaki selepas dihantar rakan mereka ketika pulang daripada menyambut malam ambang Merdeka.

"Namun apabila pintu bilik diketuk, pasangan kepada wanita itu yang juga berusia 22 tahun berjaya meloloskan diri ke kawasan berdekatan. Kedua-duanya sebelum itu memanjat tingkap bilik dan cuba meloloskan diri menerusi pintu belakang hotel.

"Namun wanita berkenaan gagal melarikan diri daripada anggota penguat kuasa JAINJ dan terjatuh semasa cuba melarikan diri," katanya ditemui pemberita selepas operasi berkenaan tamat awal pagi ini.

Selain pasangan tersebut, beliau berkata, tujuh lagi pasangan ditahan dalam serbuan berkenaan di beberapa hotel berasingan terutama sekitar Masai dan Seri Alam.

Menurut Mohd. Hafiz, mereka yang ditahan berumur antara 17 hingga 48 tahun tersemasuk seorang pelajar sekolah perempuan serta dua warganegara Indonesia.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!