22 September 2016


Temasek Holdings yang dianggap sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) paling kukuh di rantau ini turut me­nerima tempias ketidaktentuan ekonomi dunia apabila dilaporkan mengalami kerugian S$24 bilion (RM73 bilion) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.

Prestasi kewangan syarikat pelaburan negara bagi Singapura itu yang berakhir Mac lalu, diumumkan semasa minggu Hari Raya Aidilfitri pada awal Julai, dan dilihat kurang mendapat liputan meluas media antarabangsa seperti mana yang diterima oleh syarikat-syarikat lain termasuk dari Malaysia.

Menurut laporan itu, Temasek mengalami pengurangan nilai portfolio bersih daripada S$266 bilion (RM806 bilion) kepada S$242 bilion (RM733 bilion), menyebabkan pulangan pemegang kepentingan GLC itu berkurangan 9.02 peratus.

Syarikat itu dipengerusikan oleh bekas ahli politik parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP), Lim Boon Heng sementara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho Ching merupakan isteri Perdana Menteri Singa­pura, Lee Hsien Loong.

Menurut laporan States Times Review, tiada ulasan lanjut diberikan oleh Temasek menerusi laporan tahunan syarikat itu, sebaliknya hanya menyalahkan ketidaktentuan pasaran sebagai punca syarikat berkenaan me­ng­alami penyusutan nilai asetnya.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, penyusutan nilai yang dialami oleh Temasek itu selari dengan masalah prestasi buruk yang dialami oleh beberapa syarikat serantau yang lain.

“Beberapa faktor dilihat te­lah menjejaskan syarikat tersebut. Antaranya kesan tindakan pelabur-pelabur asing mengeluarkan dana masing-masing daripada pasaran ekuiti negara-negara berkembang pesat sepanjang tahun lalu.

“Faktor lain ialah kejatuhan harga komoditi. Malah, pe­ngukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding banyak negara termasuk Singapura turut menjejaskan Temasek. Bagaimanapun ia bersifat sementara dan mengikut perkembangan pasaran dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditubuhkan pada tahun 1974, Temasek mempunyai kepenti­ngan di dalam syarikat-syarikat milik Singapura antaranya syarikat penerbangan Singapore Airlines, syarikat telekomunikasi Singtel, jenama perbankan DBS, Keppel Corporation dalam sektor pelabuhan dan perkapalan serta aset hartanah CapitaLand.

Setakat akhir Mac lalu, Temasek masih mempunyai hutang bersih sebanyak S$44.4 bi­lion (RM135 bilion). Syarikat itu bagaimanapun menjelaskan tidak menawarkan jaminan kewangan terhadap syarikat-syarikat portfolionya.

Singapura dikelaskan sebagai satu daripada 20 negara yang memiliki hutang asing terbanyak di dunia berjumlah AS$1.76 trilion (RM7.22 trilion), mengikut maklumat hutang global yang dikumpul oleh enjin pencarian, Yahoo!.

Mengikut ruangan kewangan enjin pencarian itu, hutang asing bermaksud pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh individu atau entiti dalam sesebuah negara itu daripada pihak asing.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!