5 Oktober 2016


Pengarah urusan syarikat pengurusan artis, Marina Juki merupakan pengurus pelawak, Zizan Razak yang sah dan berhak mendapat komisen sebanyak 15 peratus daripada pendapatan pelawak tersebut bermula tahun 2011 sehingga 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Roslan Abu Bakar memutuskan perkara tersebut selepas membenarkan rayuan wanita itu di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam, Harjit Singh Sandhu yang mewakili Marina memberitahu pemberita bahawa mahkamah turut memerintahkan Zizan, 31, atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abd. Razak membayar kos sebanyak RM10,000 kepada bekas pengurusnya itu.

“Berhubung rayuan silang yang dikemukakan oleh Zizan, mahkamah mendapati tiada bukti yang menunjukkan, Marina mendedahkan perincian mengenai saman tersebut kepada pihak ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak rayuan tersebut,” ujar peguam itu.

Peguam Rishwant Singh yang mewakili pelakon utama filem Abang Long Fadil itu mengesahkan perkara tersebut.

Zizan dan Marina, 31, yang tidak hadir pada prosiding hari ini memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati de­ngan keputusan Mahkamah Se­syen di sini pada 4 April lalu yang menolak saman masing-masing.

Marina yang selaku pengarah urusan syarikat Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd. (Wire Fame) memfailkan saman tersebut pada 5 November 2014 atas dakwaan pelawak terbabit telah menandatangani kontrak de­ngan sebuah syarikat televisyen berbayar sebelum kontrak bersama Wire Fame tamat pada 5 Mei 2015.

Tindakan tersebut, dakwa Marina selaku pihak plaintif telah menyebabkan beliau kehilangan komisen 15 peratus di atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014 iaitu selepas pelawak terbabit menandatangani kontrak baharu dan juga komisen bagi kerja-kerja yang telah dilakukan pada 2013 dan 2014.

Zizan pula memfailkan tuntutan balas terhadap bekas pe­ngurusnya itu pada 9 Jun tah­un lalu dan menuntut antaranya ganti rugi am dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Selain saman membabitkan pelanggaran kontrak tersebut, Marina juga memfailkan satu lagi saman terhadap Zizan pada 30 September 2014 berhubung pembekuan akaun milik syarikat itu sehingga menyebabkan beliau dan syarikat terbabit mengalami kerugian.

Bagaimanapun pada 10 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman tersebut selepas membenarkan permohonan pelakon filem Mael Lambong itu.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!