21 Oktober 2016


MELAKA - "Saya tak sangka Marzuki ni orang Cina. Mati-mati saya ingatkan dia Melayu," kata Asmarina Shahar, 31, menceritakan mengenai Marzuki Pang, 39, seorang pengusaha kuih zhang halal di Melaka.

Menurut Asmarina, dia hanya mengetahui Marzuki adalah saudara baharu selepas bertemu dengannya di Lorong Pandan, di sini, ketika mengambil tempahan.

Kuih zhang juga disebut sebagai chang, merupakan kuih yang terkenal dalam masyarakat Cina Peranakan berikutan kesukaran untuk menyediakannya.

Bagaimanapun, kebanyakan zhang atau zang zi dalam bahasa Mandarin yang terdapat dalam pasaran tidak halal.

Bagi masyarakat Melayu pula, mereka akan membeli chang tanpa inti dan menikmatinya dengan gula atau gula perang sahaja.

Namun begitu, bagi Asmarina yang meminati kuih zhang sejak kecil, dia sering membeli  kuih tersebut di Pasar Melaka Sentral, tetapi tidak berinti, disebabkan ia digemari keluarganya.

“Bukan senang nak jumpa chang berinti halal, tapi bila terlihat iklan Marzuki Kuih Zhang pada awal September dan yang membuatnya pula Islam, saya terus order (pesan).

“Bila saya makan, rasanya memang sedap dan inti pun manis. Anak mula-mula pelik tengok kuih ni, tapi bila saya cubit sedikit untuk beri mereka rasa, mereka pula berlebih. Kali pertama makan kuih zhang dibuat Marzuki, saya dan suami makan dalam kereta, tapi tak sangka sampai berebut dengan anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil.

Asmarina yang menyedari pembuatan kuih itu rumit tidak menyangka Marzuki membuatnya sendirian dan usaha lelaki itu patut dipuji kerana memperkenalkan makanan Cina dalam versi halal.

Dipulau rakan sekerja, majikan

Sementara itu, cabaran menginovasikan kuih tradisional Baba Nyonya ini disahut Marzuki yang pada asalnya langsung tidak mempunyai kemahiran memasak.

Malah, tidak pernah terjangkau dek akal fikiran Marzuki menjadikan ia sebagai sumber pendapatan sehingga usia mencecah 39 tahun.

Menurutnya, semua bermula menjelang Festival Kuih Zhang pada Mei iaitu selepas beliau berhenti kerja sebagai jurujual Februari lalu.

“Saya menganut Islam pada 21 April 2012 dan sejak itu saya dipulaukan rakan-rakan sekerja, bos (majikan) dan pelanggan.

“Keadaan berlanjutan sehingga saya berhenti kerja dan sukar mendapatkan pekerjaan menyebabkan saya bertemu beberapa kawan yang saya gelar mentor.

“Berikutan Festival Kuih Zhang semakin hampir, mentor saya cadangkan saya menjual kuih zhang halal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Marzuki berkata, mentor yang dikenali sebagai Iskandar dan mengucap syahadah bersama-samanya empat tahun lalu itu memberinya nasihat untuk cuba melakukan sesuatu bagi membantu orang Islam.

“Saya mula buat penyelidikan bertemu orang lama walaupun ada tidak mahu berkongsi resipi, namun saya tidak marah kerana itu hak mereka.

“Banyak juga duit dihabiskan untuk buat kajian sampai  saya tidak ada duit, tak mampu bayar sewa rumah dan kereta,” katanya.

Menurutnya, bohong jika tidak pernah rasa putus asa, namun berkat kesabaran dan doa, dia berjaya membuat kuih dan mempunyai teknik yang baik mengikat zhang menggunakan sirat pisang.

Mahu ubah 'mind set' Melayu, Cina

Sementara itu, Marzuki juga akui terdapat cabaran mengedar kuih berkenaan.

“Ada suatu ketika, saya hantar lima biji kuih ditempah pelanggan. Bila dia lihat saya Cina, dia ragu-ragu dan tidak percaya walaupun sudah menunjukkan kad mualaf dan kad dikeluarkan Perkim," katanya.

Marzuki yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasi berkata, perniagaan sepenuh masa yang diusahakannya kini berkembang dan mula dijual secara atas talian menerusi Facebook sejak awal September.

“Alhamdulillah, walaupun tempahan bukanlah setiap hari, tapi purata kuih saya terjual 20 biji setakat ini sudah cukup untuk saya kongsi hati saya ketika membuat zhang.

“Saya harap kuih ini boleh memecahkan 'mind set' orang Melayu dan orang Cina sendiri dan jika ada rezeki saya mahu melihat zhang halal dipasarkan ke luar negara,” katanya.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!