20 Oktober 2016


Gara-gara menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu dan tidak mematuhi peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dua buah kereta mewah milik seorang ahli perniagaan ter­ke­nal dari Kelantan bergelar Datuk Seri disita polis.

Kereta jenis Rolls Royce dan Lamborghini yang bernilai lebih RM3.4 juta itu disita pihak polis di sebuah kondominium mewah berhampiran pusat beli-belah di Jalan Raja Chulan, di sini kelmarin dan semalam.

Bagaimanapun ahli perniagaan lelaki berusia lingkungan 50-an itu masih belum diambil keterangan kerana dipercayai berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya merampas kereta jenis Rolls Royce berwarna emas bernilai RM1.6 juta itu kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran serta cukai jalan palsu dan tidak didaftarkan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kita juga menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang meng­aku sebagai pemandu kenderaan berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Hasil penahanan itu, sebuah lagi kereta jenis Lamborghini bernilai RM1.8 juta milik ahli perniagaan berkenaan turut dirampas di lokasi yang sama semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Amar Singh, hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kereta Lamborghini itu sah namun mempunyai beberapa kesalahan di bawah JPJ dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ujarnya, pihaknya akan me­lakukan semakan dengan JKDM dan JPJ untuk mendapatkan pe­ngesahan status kedua-dua kereta berkenaan serta siasatan dijalankan mengikut Akta Kastam.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!