Sebuah agensi mencari jodoh di negara ini mengambil inisiatif memperkenalkan pemakaian penutup hidung dan mulut kepada pasangan yang mengadakan temu janji untuk kali pertama.
Mirror Online yang memetik kenyataan agensi yang dikenali sebagai Def Anniversary itu melaporkan, pemakaian tersebut perlu dilakukan bagi mengelak setiap pasangan membuat penilaian secara fizikal semata-mata.
Ketua agensi itu, Kei Matsumura berkata, adalah penting untuk membenarkan pasangan menilai personaliti individu terlebih dahulu pada peringkat awal perkenalan.
“Oleh itu, kami memilih penggunaan penutup hidung dan mulut sebagai ‘perantara’ terbaik untuk tujuan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Yasumasu Kishi, 28, yang menyertai program anjuran agensi berkenaan mengakui lebih berkeyakinan apabila memakai penutup hidung dan mulut ketika mengadakan temu janji pertama.
“Mereka yang menyertai program ini mencari seseorang menerusi personaliti yang dimiliki dan bukan sebaliknya,” katanya yang berkesempatan berbual bersama 18 wanita dalam tempoh tiga minit untuk setiap temu janji.