5 Oktober 2016


Gelagat pengemis mendekati kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat, memberi idea kepada lima anak muda termasuk empat guru agama, memanfaat strategi sama bagi menjayakan perniagaan sarapan diusahakan mereka. 

Meskipun awalnya disangka mengemis, namun idea kreatif mereka mundar-mandir di atas pembahagi jalan, sambil mengusung dulang berisi sandwich dan kopi itu, mendapat sambutan pengguna Jalan Subang dan Lebuh Raya Guthrie (GCE) di sini. Perniagaan lima sahabat yang digelar 'UstazKopi' itu, mula mendapat perhatian orang ramai sejak sebulan lalu kerana menawarkan sarapan ringkas berupa, sandwich telur dan sardin pada harga RM2 serta RM1 bagi secawan kopi. 

Berkongsi idea usaha itu, Razlan Abdul Rahman, 36, berkata semuanya bermula daripada perbincangan bersama rakan-rakan lebih sebulan lalu, berhubung isu peminta sedekah di lokasi tumpuan, terutama persimpangan lampu isyarat.  

"Selama ini, ketika berulang alik dari Mentari Court ke tempat kerja di Puncak Alam melalui jalan sama, saya sering terserempak kelompok peminta sedekah mengambil kesempatan mengemis simpati pemandu yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.     

"Gelagat pengemis itu memberi idea kepada kami untuk cuba melakukan perubahan dengan berniaga di persimpangan lampu isyarat terbabit. Kami bukan sekadar mencari peluang niaga, tetapi membantu orang ramai yang tidak sempat bersarapan di rumah kerana mengejar masa ke tempat kerja," katanya. 

Ustazkopi diusahakan Razlan bersama empat lagi rakan iaitu Razin Abdul Rahman, 24; Muhammad Aqil Ibrahim, 25; Mohamad Fatkhi Mohamad Tohid, 25, dan Aiman Burhanudin, 24.  

Mereka memilih sandwich dan kopi sebagai bahan jualan, kerana ia tahan lebih lama serta mudah untuk dinikmati pemandu dan penumpang di dalam kenderaan masing-masing. 


Memulakan perniagaan seawal jam 6.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum, mereka bangun seawal jam 4 pagi untuk menunaikan solat sunat terlebih dahulu sebelum memulakan persiapan awal jualan.  

Razlan berkata, empat dari mereka bertugas sebagai guru di Meru sebelah petang, manakala Aiman berpengalaman berniaga kecil-kecilan, menjadikan usaha mereka lebih mudah, memandangkan perniagaan itu hanya dilakukan sebelah pagi. 

"Kebiasaannya, persiapan barang mentah untuk membuat sandwich kami lakukan pada sebelah petang selepas pulang dari mengajar. Proses menyiapkan sandwich termasuk mengasingkan tulang ikan sardin akan dilakukan pada waktu malam dengan dibantu isteri. "Berkonsepkan perniagaan bergerak, kami memulakan jualan sandwich dan kopi di persimpangan lampu isyarat Jalan Subang menghala ke GCE mulai jam 6.30 sehingga jam 9 pagi. 

"Kami hanya meletakkan meja bagi menempatkan bungkusan sandwich dan kopi sebelum mundar mandir di sepanjang bahu jalan apabila kenderaan berhenti ketika lampu isyarat merah untuk memudahkan pemandu membeli tanpa perlu turun daripada kenderaan," katanya. 

Dalam usaha menarik perhatian pengguna jalan terbabit kepada sarapan yang ditawarkan, perniagaan itu turut dipromosikan mereka menerusi akaun Facebook, Ustazkopi. Kegigihan mereka menyaksikan lima anak muda itu mampu menjual antara 200 hingga 300 bungkusan sandwich setiap pagi. 

Menganggap perniagaan mereka sebagai satu ibadah, Aqil berkata, selain menunaikan solat Subuh dan sunat Tahajud setiap hari, mereka juga menunaikan solat sunat Dhuha sebelum memulakan perniagaan bagi mendapat keberkatan, terutama ia adalah kunci kepada kejayaan dalam hidup umat Islam. 

"Kita boleh melakukan apa sahaja perniagaan, yang penting tawakal dan percaya dengan rezeki yang telah ditetapkan. Begitu juga kami, walaupun pada awal pembabitan jualan kurang memberikan pulangan modal, tetapi kami tetap percaya dengan rezeki dan peluang yang ada. 

"Pada awalnya, ramai yang tidak percaya dengan idea kami, tetapi kami berjaya membuktikan sekiranya kita ada kemahuan, segala-galanya mampu dilakukan lebih-lebih lagi dengan bantuan rakan-rakan. "Sejak memulakan perniagaan Ustazkopi, kami sudah mula mengenali pelanggan kami dan adakalanya pada waktu cuti, wujud perasaan rindu untuk bertemu dengan mereka memandangkan kami menganggap mereka sebagai rakan," katanya.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!