11 Oktober 2016


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan RM30 juta wang yang dipindahkan ke dalam beberapa akaun di tiga buah negara milik pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan yang ditahan kerana didakwa menyalah guna dana pembangunan infrastruktur kerajaan sejak tahun 2010.

Menurut sumber, sebanyak RM1 juta daripada wang itu adalah milik pengarah manakala RM29 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun timbalan pengarah berkenaan.

Katanya, Jabatan Tanah dan Ukur yang melakukan penilaian terhadap 127 geran tanah milik timbalan pengarah itu hari ini turut mendapati nilai keseluruhannya adalah RM30 juta.

“Maklumat awal mendapati pengarah tersebut telah memindahkan wang lebih kurang RM1 juta ke dalam akaunnya di luar negara manakala bakinya adalah milik timbalannya.

“Setakat ini SPRM telah mera­kam percakapan 40 orang saksi berhubung siasatan iaitu ahli keluarga timbalan pengarah dan pekerja daripada beberapa syarikat yang terlibat secara langsung dalam projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, sebanyak 60 anggota dan pegawai SPRM yang terlibat dalam Op Water menahan pengarah dan timbalan pengarah itu serta dua lagi suspek iaitu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan seorang akauntan kerana disyaki menyeleweng dana dari­pada kerajaan Pusat yang bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010.

Hasil penahanan tersebut, SPRM berjaya menemukan wang tunai sebanyak RM52.5 juta di pejabat dan rumah kedua-dua suspek serta merampas barang kemas bernilai RM3.64 juta milik mereka.

Selain itu, SPRM turut menyita sebuah akaun bank bernilai RM23 juta milik kesemua suspek dan sebuah lagi akaun milik salah seorang suspek yang mempunyai wang sebanyak RM37 juta serta 127 geran tanah milik timbalan pengarah itu.

Setakat ini, nilai keseluruhan aset yang dirampas daripada ke­se­mua suspek termasuk sembilan buah kenderaan mewah bernilai RM2.7 juta adalah sebanyak RM178.8 juta.

Sementara itu, sumber tersebut berkata, kesemua geran tanah yang dirampas berstatus tanah perumahan, pertanian dan komersial di beberapa kawasan di Sabah.

Katanya, SPRM juga dijangka memohon lanjutan tempoh reman terhadap kesemua suspek esok memandangkan tempoh reman seminggu yang diberikan Mahkamah Majistret sebelum ini berakhir.

Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubu­ngi mengesahkan perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan siasatan.


0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!