5 Oktober 2016


Calon Pre­siden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump berdepan tamparan hebat menjelang pilihan raya November ini selepas Peguam Negara, Eric Schneiderman mengarahkan Yayasan Trump untuk menghentikan sebarang aktiviti mengutip dana di New York.

Arahan tersebut dikeluarkan berikutan badan amal itu didapati terlibat dalam aktiviti mengutip derma yang menyalahi undang-undang kerana tidak berdaftar dengan pihak berkuasa negeri.

Ekoran itu, seterunya daripada Parti Demokratik, Hillary Clinton pantas membidas Trump dan melabel jutawan hartanah tersebut sebagai seorang ahli perniagaan yang tidak bertanggungjawab.

“Bayangkan, ketika semua keluarga di AS termasuk saya bekerja keras untuk membayar pembahagian cukai yang adil, kelihatan Trump pula sebaliknya tidak menyumbang apa-apa untuk negara.

“Beliau (Trump) telah mempermainkan seluruh AS sepanjang kempen pemilihan Presiden ini,” tegas Hillary ketika berucap dalam satu majlis di Toledo, Ohio.

Hillary memperoleh kelebihan lima mata di hadapan Trump selepas Debat Presiden pertama minggu lalu, menurut satu tinjauan pendapat yang disiarkan semalam.

Bekas Setiausaha Negara AS itu mendahului dengan undian sebanyak 47 peratus yang keba­nyakannya pengundi lelaki dan pengundi atas pagar berban­ding Trump yang memperoleh 42 peratus menerusi pungutan suara yang dilakukan agensi berita CNN.

Sebanyak 44 peratus pengundi atas pagar kini memihak kepada Hillary berbanding Trump yang hanya memperoleh sokongan sebanyak 37 peratus daripada golongan itu.

Sekitar enam daripada 10 pe­ngundi berkata Hillary telah menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam perbahasan.

Kaji selidik yang dilakukan ke atas 1,501 orang, termasuk 1,213 pengundi berpotensi itu turut memperlihatkan 57 peratus daripada mereka berpendapat bahawa keengganan Trump untuk mempamerkan pulangan cukai yang dinikmatinya menunjukkan beliau sedang menyembunyikan sesuatu.

Dalam perkembangan lain, kempen pilihan raya Hillary sedikit tercalar apabila seorang lelaki kulit hitam mengaku konon­nya bekas Presiden AS, Bill Clinton adalah bapa kandungnya.

Perkara itu mula diperkatakan selepas lelaki berkenaan, Danney Williams membuka akaun Facebook pada Disember tahun lalu menggunakan nama Danney Williams-Clinton, dengan niat yang jelas untuk meraih perhatian Clinton dan berharap suami kepada Hillary itu akan mengiktirafnya sebagai anak kandung.

Namun menurut laporan portal Daily Mail, dakwaan bahawa William dilahirkan hasil hubungan Clinton dengan bekas kekasihnya, Bobbie Ann Williams bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak 1999.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!