25 November 2016


SUAMI mana yang mampu bersabar jika isteri yang dicintai dikecam dengan kata-kata fitnah yang bukan sahaja boleh mencalarkan reputasi, tetapi turut mencemarkan maruahnya.

Komposer terkenal, Johan Nawawi berkata, isterinya, penyanyi Nora Ariffin mula mengorak langkah dalam industri seni sejak awal 90-an lagi dan pelbagai ragam manusia telah ditemuinya.

Dalam tempoh tersebut juga, dia sudah berhadapan dengan beraneka kritikan sama ada daripada golongan profesional, mahupun masyarakat umum yang tidak bertauliah.

“Sehinggalah muncul era media sosial yang menjadi kegilaan kini, Nora tetap utuh meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi, mencari rezeki untuk seisi keluarga.

“Apabila saya membenarkannya menyertai Gegar Vaganza 3, dia pun sudah sedia maklum bakal dikritik bukan sahaja daripada barisan juri profesional, bahkan netizen yang bebas bersuara di laman sosial milik mereka.

“Jadi, dari segi mentalnya dia sudah bersedia. Begitu juga saya, sebagai suami optimis menerima setiap kutukan atau kecaman yang melibatkan kariernya.

“Namun awas, jangan sesekali sentuh hal peribadi kami. Itu sudah melampau!” katanya memberi amaran kepada individu yang cuba merosakkan nama baiknya serta Nora.

Mengulas lanjut akan status yang dimuat naik di laman sosial yang menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit, Johan memberitahu ia sekadar amaran.

Katanya, dia ada terbaca komen para netizen yang tidak berpuas hati apabila mendapat tahu Nora akan menukar lagu yang telah diberikan pada minggu lalu.

“Itu pendapat peribadi mereka, saya tidak ambil kisah kerana sudah menjangkakannya dan tidak mahu komen lanjut tentang isu itu. Nora serta Astro ada kontrak yang telah dipersetujui bersama.

“Semua peraturan telah diikuti sebaik-baiknya, tiada sebab untuk isteri saya melanggar sebarang syarat yang akhirnya akan memakan diri sendiri.

“Cuma yang saya peduli, terdapat beberapa komen yang telah menyentuh secara terus peribadi kami dengan tuduhan tidak berasas berunsur fitnah. Ternyata ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Malah saya juga telah berjumpa dengan peguam untuk tindakan lanjut,” tegasnya.

Menurut Johan, ada kata-kata yang menuduhnya membuat komplot dengan Astro memastikan Nora mendapat lagu yang bersesuaian, sekali gus memberi laluan mudah buat penyanyi itu.

Bukan itu sahaja, penulis lagu Hanya Satu tersebut turut terkejut membaca komen yang memfitnah isterinya menjalin hubungan sulit dengan orang ternama semata-mata untuk terus kekal dalam GV3.

“Kalau nak komen atau kritik tentang nyanyian, itu saya okey lagi. Tetapi apabila sampai tahap memfitnah, itu sudah lebih dan keterlaluan,” jelasnya membela Nora.

Johan juga memberitahu, sebagai suami, dia berperanan memastikan rumah tangganya aman dan tenteram daripada gangguan anasir negatif yang cuba memporak-perandakan.

Maka sebab itulah dia tidak akan berkompromi jika ada pihak yang mahu berbuat jahat.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!