24 November 2016


Selepas dibelenggu skandal membabitkan campur tangan rakan baiknya dalam urusan pentadbiran kerajaan, Pre­siden Korea Selatan, Park Geun-hye kini berdepan satu lagi isu yang dianggap agak pelik.

Isu terbaharu itu muncul selepas Ahli Parlimen parti pembangkang mendedahkan pe­nemuan beratus-ratus biji pil termasuk ubat perangsang seks untuk lelaki iaitu Viagra di pejabat Geun-hye semalam.

Penemuan tersebut kemudian tersebar dalam kalangan media-media tempatan termasuk media sosial yang berminat untuk membongkar kehidupan peribadi Presiden berkenaan.

Bimbang keadaan menjadi lebih buruk, seorang jurucakap Geun-hye kemudian tampil membuat pe­ngakuan mengenai penemuan tersebut.

Menurut Jung Youn-kuk, ubat-ubat itu dibeli Geun-hye untuk dibawa me­ngunjungi beberapa negara yang terletak di kawasan pergunungan Afrika termasuk Ethiopia, Mei lalu.

“Kami membawa ubat-ubat itu bersama ketika lawatan tersebut namun tidak menggunakannya,” kata Youn-kuk yang memberitahu ubat tersebut berguna untuk merawat penyakit semasa berada di tempat yang tinggi.

Geun-hye dilaporkan pernah membeli beratus-ratus ubat suntikan yang mengandungi ekstrak plasenta manusia serta vitamin yang diguna untuk proses pembuangan toksik dan rawatan antipenuaan.

Menurut Youn-kuk, ubat-uba­tan itu untuk kegunaan para pekerja mereka termasuk pengawal peribadi Geun-hye.

Geun-hye kini berdepan tunjuk perasaan besar-besaran daripada rakyat Korea Selatan yang mahukan pemimpin itu meletak jawatan.

Desakan itu timbul selepas rakan baiknya, Choi Soon-sil didakwa bersubahat memaksa beberapa syarikat tempatan menyumbang berbilion-bilion dolar ke dalam sebuah yayasan yang diterajui wanita tersebut.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!