16 Disember 2016


Seorang wanita muda telah berjaya melahirkan anak selepas doktor berjaya mengembalikan kesuburannya menggunakan tisu ovari yang dibuang 15 tahun lalu sebelum dibekukan dengan disimpan dalam cecair nitrogen.

BBC News melaporkan, Moaza Al Matrooshi, 24, dipercayai wanita pertama di dunia melahirkan anak hasil daripada ovari yang dibekukan ketika usianya belumpun mencapai akil baligh.

“Apa yang berlaku ini adalah satu keajaiban. Kami telah lama menunggu saat kelahiran seorang bayi yang sihat,” kata wanita kelahiran Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Moaza menderita akibat penyakit gangguan darah atau beta talasemia sejak kecil dan penyakit itu dikatakan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan baik.

Ketika berusia sembilan tahun, ovari kanan Moaza terpaksa dibuang dalam satu pembedahan di Leeds, United Kingdom (UK) dan tisu ovari itu kemudian dibekukan.

Wanita terbabit dilaporkan turut menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum daripada saudara lelakinya di Hospital Great Ormond Street di London tidak lama selepas itu.

“Saya selalu percaya bahawa saya akan menjadi seorang ibu suatu hari nanti,” kata Moaza yang menjalani pemindahan lima lapisan tisu ovari ke dalam badannya termasuk empat menerusi suntikan ke bahagian ovari kiri di Denmark tahun lepas.

Pemindahan itu memboleh­kan hormon Moaza kembali normal meskipun terdapat petanda bahawa wanita tersebut mungkin mengalami monopaus lebih awal.

Bagi memaksimumkan peluang mereka untuk menimang cahaya mata, wanita itu serta suaminya, Ahmed turut menjalani rawatan pembenihan secara in-vitro (IVF).

Tahun lepas, seorang wanita dari Belgium melahirkan anak menggunakan tisu ovari yang dibekukan ketika usianya 13 tahun.

Wanita pertama di dunia yang melahirkan anak melalui kaedah pemindahan tisu ovari ke dalam badan juga dilaporkan berasal dari Belgium pada tahun 2004.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!