22 Disember 2016

Maut Dihempap Marmar 3 Tan


Seorang lelaki warga Myanmar maut dihempap kepingan marmar seberat tiga tan yang sedang disusun di dalam kontena dalam kejadian di sebuah kilang marmar di Jalan Batu Berendam di sini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, K. Kalaiselvam berkata ketika kejadian terdapat dua lagi pekerja warganegara sama melakukan tugas masing-masing untuk menghantar kepingan marmar itu kepada pelanggan namun mereka sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah setelah sebahagian badannya tertimbus di bawah kepingan marmar tersebut dalam kejadian Rabu.

"Ketika tiba di lokasi kejadian pada 10.56 pagi, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Anggota kami kemudian mengalihkan kepingan marmar itu untuk mengeluarkan mangsa yang tertimbus," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurut beliau pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.41 pagi sebelum seramai tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi tujuan operasi menyelamat mangsa.

Kalaiselvam berkata operasi mengalihkan batuan dan mengeluarkan mayat mangsa selesai pada pukul 2 petang.

"Mangsa yang maut itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat," katanya.