22 Disember 2016

'Penangan' Ibu Tunggal


Seorang pembantu tadbir berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan bekas suaminya dengan me­numbuk muka mangsa di sebuah rumah di Bukit Rambai, perte­ngahan tahun ini.

Raihana Anuar, 29, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan cara tersebut terhadap Mohamad Hatta Moha­mad, 33, di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai di sini pada pukul 8 malam, 16 Mei lalu.

Ibu kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh manakala peguam, Hazri Hanafi yang mewakili Raihana memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan tertuduh mempunyai anak berusia tiga dan empat tahun selain pengadu dalam ke­s ini sudah menarik balik laporan polis.

Majistret Norina Maludin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan me­netapkan 1 Februari depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.