7 Disember 2016


Kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) berkemungkinan membuat keputusan ‘tergempar’ iaitu meninggalkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) bagi meneruskan penyertaannya dalam Liga Super 2017.

Desas-desus mengenai kemungkinan itu berlaku semakin kuat dibincangkan dalam kalangan pemerhati bola sepak dan dikatakan berpunca daripada isu tarik tali dengan FAS yang seolah-olah enggan merestui penyertaan skuad Semut Merah dalam Liga Malaysia.

Sehubungan itu PKNS nekad memeterai persefahaman de­ngan PBMS dan dikatakan mereka telah mengadakan rundingan sebanyak dua kali iaitu pada 29 November dan 1 Disember lalu.

Sepucuk surat permohonan rasmi PKNS untuk menyertai PBMS yang dipayungi oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) serta menjadi ahli gabu­ngan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu telah dihantar semalam.

Difahamkan penyertaan PKNS di bawah badan induk baharu PBMS ke dalam Liga Malaysia tetap mematuhi sebarang klausa Fasal 4 per­aturan pertandingan FAM.

Pegawai kanan kelab PKNS gagal dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai kemungkinan ini namun difahamkan satu pengumuman rasmi mengenai­nya bakal dibuat oleh mereka pada minggu ini.

PKNS, yang kini diterajui E. Elavarasan, dinaikkan semula ke Liga Super setelah muncul naib juara Liga Perdana 2016. Rekod mereka dalam Liga Malaysia agak cemerlang setelah bergelar naib juara Piala FA musim sama, menjuarai Liga Perdana 2011 dan menjulang Piala FAM 1979 dan 2003.

Presiden PBMS, Mohd. Firdaus Mohamed ketika dihubungi mengesahkan satu mesyuarat khas dilangsungkan malam tadi dan pihaknya sebulat suara memutuskan untuk menerima kemasukan PKNS itu.

“Selebihnya, memandangkan dalam keadaan sekarang, biarlah PKNS yang membuat penjelasan lanjut mengenainya,” katanya yang juga Naib Presiden PBSMM.

0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!