21 Disember 2016

Semua Keras Kepala


Baru saja ‘perjanjian 13 Disember’ dimeterai dengan penyertaan pendatang baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pakatan pembangkang diketuai induknya, DAP sudah cacamarba. 

Soal pengagihan ke­rusi ber­tanding dalam pilihan raya umum akan datang satu hal. PKR tidak mahu PAN dan PPBM kacau mereka di Selangor dan Pulau Pinang. Di Sabah pula, parti Harapan di sana diterajui Datuk Lajim Ukin pun nadanya sama. 

Pakatan pembangkang dari Semenanjung jangan kacau daun. Kami di Sabah tahu jaga kami punya kawasan, demikian nada Lajim. Walaupun bersungguh benar empat parti pakatan itu berjanji untuk hanya meletakkan satu calon berdepan Barisan Nasional (BN), hakikatnya konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam kalangan mereka. 

Satu sebab paling utama ialah tiada sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR. Dan kedua-dua DAP dan PKR adakah percaya kepada PPBM dan PAN? 

Lihatlah bagaimana kuasa yang sepatutnya diberikan kepada Pas di Pulau Pinang dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi Pas. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, 

Sini Terpelau Sana Terlepas. Pas berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, Pas hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa. 

Dengan kedudukan PAN yang lemah, ditambah PPBM yang baru ‘bertatih’, agak pelik pula apabila timbul rancangan untuk menaikkan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Muhkriz sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang. 

DAP awal-awal lagi tidak bersetuju, malah kekal memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim. PPBM dan PAN khususnya harus ambil iktibar dari keputusan Pas menjauhkan diri dari DAP. Akar umbi Pas tidak mele­takkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. 

Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini suatu kegagalan besar da­lam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.