22 Februari 2017

Ahli Perniagaan Maut Ditembak 6 Das


Dalam keadaan jalan raya sesak ketika waktu puncak, dua lelaki yang menaiki motosikal bertindak nekad dan kejam dengan melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta mewah jenis BMW berwarna putih.

Mangsa merupakan seorang ahli perniagaan wanita, Ruby Lee Poh Ai, 50, yang ketika kejadian pada kira-kira pukul 5.45 petang hari ini sedang memandu bersendirian berhampiran Taman Pekaka 1, Sungai Dua di sini menuju Bukit Gambir.

Mangsa ditembak lebih 11 das yang turut terkena kepalanya menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, ketika kejadian, suspek ber­usia 30-an menghampiri kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan ke arah cermin sisi bahagian pemandu.

Menurutnya, selepas ditembak, kereta yang dipandu mang­sa melanggar kenderaan pa­cuan empat roda di hadapannya sebelum terbabas di hadapan rumah teres di Lintang Pekaka 9, Gelugor, iaitu kurang 10 meter dari tempat kejadian.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek yang menembak wanita menjalankan perniagaan logistik kapal ialah pembonceng dan mereka terus melarikan diri.

"Hasil siasatan lanjut menemukan enam kesan tembakan di bahagian badan termasuk dada yang menyebabkannya cedera parah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainol menjelaskan, kejadian tersebut dipercayai tiada kaitan dengan mana-mana aktiviti kongsi gelap dan isteri kepada seorang lelaki bergelar Datuk Seri seperti didakwa.

Ketika ditanya dakwaan wanita itu mengandung, beliau berkata, bentuk fizikal tubuh mangsa dalam keadaan normal.

"Kita akan jalankan siasatan dari segenap aspek termasuk latar belakang mangsa dan keluarganya," jelasnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.