23 Februari 2017


Dua pekerja binaan warga asing cedera selepas terbabit dalam satu pergaduhan akibat berebut zink di kawasan rumah kongsi di Kampung Desa Putra, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa masing-masing lelaki warga Bangladesh dan Indonesia luka di bahagian tangan, serta cedera di bahagian kepala dan muka serta lebam di mata.

Difahamkan, kawasan berkenaan dihuni kira-kira 200 warga Bangladesh, dan 40 warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan Presint 14, Putrajaya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila warga Bangladesh yang masih belum dikenal pasti identitinya mengambil zink yang berada di sebelah rumah kongsi warga Indonesia yang dikenali sebagai Ady.

Bagaimanapun, Ady dikatakan tidak membenarkan zink itu diambil sehingga mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

Dia kemudian dikatakan dikepung kira-kira 200 warga Bangladesh sebelum dipukul menggunakan besi dan kayu sehingga cedera di kepala, muka dan lebam di mata.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan kejadian berkenaan, dan memaklumkan hanya dua lelaki yang cedera dalam insiden berkenaan.

"Kejadian itu berlaku akibat berebut zink. Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda, dihantar ke lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 malam untuk mengawal keadaan.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak polis semua warga asing berkenaan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya.

Warga Indonesia yang cedera dihantar ke Hospital Serdang manakala warga Bangladesh dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
0 Comments
Disqus
Fb Comments
Comments :

0 Komen:

Catat Ulasan

Lazada Malaysia

Blog Serius - Serius Beb!