22 Februari 2017

Pelajar Praktikal Mati Dibunuh Di Ladang Kelapa Sawit


Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin, Melaka, ditemukan mati dipercayai dibunuh akibat ditikam dengan sebilah pisau dalam kawasan kebun kelapa sawit Ladang Teluk Sengat di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Azim Nazri Samsuddin, 21, yang sedang mengikuti latihan praktikal pengkhususan dalam bidang perladangan di kebun berkenaan ditemukan kira-kira 300 meter dari jalan ke pekan Teluk Sengat oleh pekerja ladang tersebut pada pukul 6 petang.

Dia ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan satu kesan tikaman selebar tiga sentimeter di bahagian belakang badan sebelah kiri paras dada.

Ketua polis daerah, Superintenden Rahmat Othman berkata, sebelum itu mangsa dikatakan melakukan pemeriksaan di kebun sawit tersebut pada pukul 11 pagi dengan menaiki sebuah motosikal.

“Bagaimanapun setelah waktu kerja tamat pukul 1.30 petang, mangsa masih belum pulang. Kemudian pada pukul 4.50 petang rakan serta beberapa pekerja lain mula mencari Muhammad Azim dalam kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

“Mangsa yang berpakaian baju biru, berseluar jean biru dan berkasut getah akhirnya ditemukan terbaring dengan kesan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa bakal menamatkan latihan praktikal pada 6 Mac ini.

Katanya, tiada sebarang dokumen ditemukan pada Muhammad Azim Nazri, namun pihaknya menemukan sebuah motosikal digunakan mangsa selain sebilah pisau berukuran 36 cm pada jarak 23 meter daripada lokasi mayat.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Kesihatan Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk bedah siasat.

“Punca dan motif kejadian setakat ini belum diketahui dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.